SANDAKAN, 10 Dis:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menyita sebuah kapal kargo tempatan yang membawa 111,391 liter minyak petrol bersubsidi yang cuba diseludup keluar ke negara jiran.
Menurut Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Siti Mang, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM545,186.15, termasuk nilai minyak, cukai yang terlibat, serta kapal tersebut.
“Kapal itu ditahan pada 19 November 2024 sekitar jam 7.45 malam, hasil operasi berdasarkan maklumat risikan. Serbuan dijalankan oleh anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Lahad Datu dan Sandakan di perairan Sandakan.
“Pemeriksaan ke atas kapal kargo tersebut menemukan minyak petrol bernilai RM228,351.55. Cukai terlibat dianggarkan RM66,834.60, manakala kapal kargo itu sendiri dianggarkan bernilai RM250,000,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Sandakan di sini, hari ini.
Operasi itu turut menahan seorang juragan kapal warga Malaysia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai cukai kastam atau RM100,000, yang mana lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai cukai kastam atau RM500,000.
“Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti mendedahkan dua kes berkaitan kegagalan membayar cukai perkhidmatan turut diselesaikan di mahkamah di sini.
Menurut Siti, pada 18 November, Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang pengendali restoran yang gagal membayar cukai perkhidmatan bagi lima tempoh bercukai.
Tambahnya mahkamah turut mengarahkan individu tersebut membayar keseluruhan cukai dan penalti berjumlah RM83,133.34 sebelum 30 Jun 2025.
Kes kedua yang didengar di Mahkamah Seksyen Tawau melibatkan seorang individu daripada kategori profesional yang gagal melunaskan cukai perkhidmatan untuk 11 tempoh bercukai.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM33,000 dan mengarahkan pembayaran penuh cukai serta penalti berjumlah RM37,659.80 sebelum 31 Disember 2024.
“Kesalahan ini disiasat di bawah Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
“JKDM menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan seperti rokok, minuman keras, dadah, kenderaan, dan bahan bersubsidi lain seperti petrol.
“Kegiatan ini bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil tetapi juga boleh mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan digalakkan menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat. JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya. -TVS