KUCHING, 10 Dis: CENTEXS Commercial Sarawak (CENTEXS Commercial) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkasakan usahawan dalam kalangan ahlinya.
Pengurus Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran CENTEXS Commercial, Kamarul Zaman Rasdi berkata, inisiatif terbabit merupakan pendekatan yang diambil oleh CENTEXS Commercial untuk memperkasakan komuniti setempat sejajar dengan hasrat, tanggungjawab dan visinya untuk menghubungkan komuniti dan segmen perniagaan.
Tambahnya, kerjasama strategik ini akan membantu ahli-ahli BAKAT mengetengahkan produk buatan mereka dan pada masa yang sama pihak CENTEXS Commercial akan turut membantu memperkasakan ahli-ahli ini dengan menyediakan latihan yang diperlukan untuk memangkin kemahiran perniagaan mereka.
“Pada permulaannya, mereka inginkan tempat untuk meletakkan produk-produk yang dibuat oleh ahli-ahli BAKAT untuk dipasarkan, dikomersialkan serta dipromosikan.
“Pada masa yang sama kami juga dapat membantu ahli-ahli BAKAT yang inginkan latihan, terutamanya dari segi kraftangan dan juga penghasilan produk makanan, terutama yang memerlukan bantuan dari segi pelabelan untuk sijil halal dan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan, kita boleh bantu mereka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik antara CENTEXS Commercial dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Juma’ani Pavilion, Kuching pada Selasa.
Menurutnya lagi, usahasama strategik ini merupakan kolaboratif pertama antara CENTEXS Commercial serta BAKAT dan kerjasama ini dilihat menjadi wadah dalam mempromosikan produk kraftangan tempatan, selain mampu menjadi platform dalam meningkatkan pendapatan usahawan tempatan dan mengangkat produk keluaran tempatan ke peringkat global selaras dengan visi Produk Keluaran Sarawak 2030.
Antara produk yang dihasilkan oleh ahli-ahli BAKAT antaranya termasuklah beg anyaman manik kontemporari, gubahan bunga dan gubahan sirih junjung traditional.
Hadir sama Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi dan Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Wira Hartiah Hamzah. – TVS