MIRI, 10 Dis: Sarawak komited membangunkan sektor pelancongan dengan mengutamakan kelestarian biodiversiti di seluruh peringkat yang terlibat.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pengembaraan dan ekopelancongan merupakan beberapa bentuk pelancongan yang paling berkesan sekali gus menawarkan pengunjung pengalaman mendalam sambil memupuk nilai penghargaan terhadap alam sekitar.
“Pengalaman ini mesti diuruskan secara bertanggungjawab untuk memastikan ia tidak menjejaskan persekitaran kita. Ini bermakna kita merangka dasar, mereka bentuk program dan melaksanakan strategi tanpa menjejaskan warisan ekologi atau budaya kita.
“Di Sarawak, kami berpandukan pendekatan komprehensif untuk pelancongan mampan. Dasar tersebut dirangka berdasarkan penyelidikan saintifik, amalan terbaik dan pengetahuan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Majlis Perasmian HORNBIL@ICAE2024 di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, inovasi adalah kunci untuk mencapai kemampanan dalam pengembaraan dan ekopelancongan.
Sarawak katanya sedang meneroka teknologi canggih yang membolehkan pihaknya memantau kesan terhadap alam sekitar, meningkatkan pengalaman pelawat, dan mempromosikan pemuliharaan.
“Sebagai contoh, Sistem Maklumat Geografi (GIS) membolehkan kami memeta kawasan perlindungan dan menilai kesihatan ekologi, manakala teknologi penderiaan jauh membantu kami mengesan perubahan dalam penggunaan tanah yang mungkin mengancam biodiversiti,” ujarnya lagi.
Selain itu, Sarawak tambahnya turut memanfaatkan platform digital untuk mengkaji tingkah laku pelawat, membangunkan strategi pemasaran bersasar yang menarik pelancong bertanggungjawab dan meningkatkan kesedaran tentang usaha pemuliharaan Sarawak.
Bertemakan “Sustainability in Adventure and Ecotourism: Bridging Theory and Practice”, HORNBILL@ICAE berlangsung selama tiga hari di Miri bermula 10 hingga 12 Disember. – TVS