KUCHING, 9 Dis: Seorang wanita cedera manakala seorang kanak-kanak lelaki selamat selepas pikap dipandu terlibat dalam kemalangan di Jalan Stephen Yong di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Garry Thompson Lemond berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.57 pagi dengan menggerakkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah pikap yang terbabas selepas hilang kawalan.
“Terdapat seorang wanita berusia 23 tahun masih berada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kanak- kanak berusia antara lima hingga enam tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa wanita dan dibawa ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya. -TVS