Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Setiausaha Pertandingan dan Bola Sepak AFC Shin Man Gil mengumumkan cabutan rasmi pasukan Malaysia pada majlis undian bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 di pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini. Foto Bernama

Vietnam cabaran terbesar misi Harimau Malaya ke Arab Saudi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Vietnam menjadi ancaman terbesar Malaysia dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2027 selepas diundi bersama dalam Kumpulan F saingan pusingan ketiga kelayakan kejohanan itu yang dijadual bermula Mac tahun depan.

Dalam majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil di sini hari ini, turut diundi dalam kumpulan sama adalah Nepal dan Laos.

Berdasarkan ranking dunia, Vietnam berada di kedudukan ke-116, Malaysia (132), Nepal (175) dan Laos ke-186.

Hanya juara setiap kumpulan akan mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.

Vietnam ketika ini mengalami kemerosotan prestasi apabila merakam sembilan kekalahan serta masing-masing satu kemenangan dan seri dalam semua pertandingan tahun ini, sekali gus memberi peluang besar kepada pasukan negara untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod pertemuan dalam semua pertandingan sejak 2016, Malaysia tewas tujuh dan seri satu dalam lapan pertemuan terakhir menentang Vietnam dengan kali terakhir pasukan negara meraih kemenangan adalah pada Disember 2014.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023, terlepas untuk mengesahkan tempat lebih awal bagi edisi 2027 selepas terkandas dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang berakhir Jun lepas.

Sementara itu, Thailand diundi bersama Turkmenistan, Taiwan dan Sri Lanka dalam Kumpulan D manakala India berdepan cabaran Hong Kong, Singapura dan Bangladesh dalam Kumpulan C.

Saingan kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2027 akan dijalankan secara timbal balik.

Piala Asia 2027 dijadual berlangsung di Arab Saudi.

Berikut merupakan keputusan penuh undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027:

 

Kumpulan A: Tajikistan, Filipina, Maldives, Timor-Leste

Kumpulan B: Lubnan, Yaman, Bhutan, Brunei

Kumpulan C: India, Hong Kong, Singapura, Bangladesh

Kumpulan D: Thailand, Turkmenistan, Taiwan, Sri Lanka

Kumpulan E: Syria, Afghanistan, Myanmar, Pakistan

Kumpulan F: Vietnam, Malaysia, Nepal, Laos -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan