MIRI, 9 Dis: Dua kes kemalangan maut direkodkan di Bahagian Miri melibatkan penunggang motosikal dan pejalan kaki semalam, kata Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alaxson Naga Chabu.
Katanya, dalam kejadian pertama pada jam 4.30 petang berlaku kemalangan maut yang melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton Iswara dengan sebuah motosikal.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan Proton Iswara yang dipandu oleh lelaki berumur 50 tahun telah membuat pusingan P (P-Turn).
“Setelah membuat pusingan, kenderaan tersebut telah dilanggar oleh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang
perempuan berumur 31 tahun yang datang dari arah Bintulu ke Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat daripada kemalangan tersebut penunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia pada jam 8.50 malam semasa menerima rawatan di Hospital Miri.
Sementara itu, katanya, kes kedua membabitkan kemalangan maut di Kilometer 805.1 Jalan Miri Bintulu yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Pesona dengan seorang pejalan kaki pada jam 5.30 petang.
“Hasil siasatan mendapati semasa pemandu kenderaan Proton Pesona yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 52 tahun tiba di tempat kejadian, pemandu telah melihat seorang lelaki melintas jalan namun telah berpatah balik dan tidak sempat untuk mengelak pejalan kaki tersebut lalu melangggarnya.
“Kesan kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa yang berusia 41 tahun telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.
Alexson memberitahu kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- TVS