SERIAN, 9 Dis: Anak muda Iban perlu memastikan seni mempertahankan diri seperti kuntau terus terpelihara dan diwarisi kepada generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, di sebalik ledakan teknologi digital berlaku sekarang, seni budaya tidak patut dilupakan kerana ia legasi sesuatu kaum.
“Penganjuran pertandingan ini (Kuntau Sarawak 2024) amat baik bagi saya kerana ia mengangkat seni warisan asal kaum kita.
“Saya percaya seni mempertahankan diri seperti kuntau bukan hanya dipraktik dan diwarisi di wilayah kita tetapi suku kaum Dayak di Kalimantan turut mengamalkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Kuntau Sarawak 2024 di Balai Ringin pada Ahad.
Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin menjelaskan, pertandingan melibatkan seni mempertahankan diri juga perlu diteruskan pada masa akan datang untuk menarik minat generasi muda.
Sementara itu, Pertandingan Kuntau Sarawak 2024 disertai 100 peserta yang bertanding dari 6 hingga 8 Disember.
Kategori yang dipertandingkan termasuk Bungai (Solo Lelaki dan Wanita), Bungai Berpasukan (Lelaki dan Wanita) serta Berasuk yang melibatkan acara kuntau menggunakan senjata serta bunga kuntau tanpa senjata. – TVS