SERIAN, 9 Dis: Kompleks Sukan Balai Ringin yang menempatkan stadium mini dijangka dirasmikan selewat-lewatnya pada penghujung Februari tahun depan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, pembinaan kompleks sukan itu menelan belanja RM15 juta dengan upacara pecah tanah dilakukan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dua tahun lalu.
Menurutnya, kemudahan di kompleks sukan tersebut diharap dapat digunakan bagi penganjuran pelbagai program dan festival bertaraf kebangsaan atau antarabangsa.
“Kompleks Sukan Balai Ringin ini adalah baharu dan akan dilancarkan tahun hadapan. Ia baru siap pada bulan ini dengan perbelanjaan lebih kurang RM15 juta.
“Dalam stadium mini itu ada sebuah dewan besar yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang,” katanya.
Sementara itu menurutnya, beliau memberi kebenaran kepada Persatuan Kuntau Iban Sarawak (SIKAR) untuk menjalani latihan di ruang yang terdapat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Balai Ringin.
“Tiada bayaran dikenakan kepada SIKAR bagi melatih remaja mempertahankan seni mempertahankan diri,” ujarnya.-TVS