KUCHING, 9 Dis: Seunit lot kedai tiga tingkat yang menjual barangan runcit di Batu 13, Jalan Kuching- Serian di sini, terbakar petang tadi.
Komander Operasi, Muhamaad Imran Sabri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.29 petang dengan menggerakkan 22 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dibantu BBP Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran seunit lot kedai tiga tingkat terbakar dalam 80 peratus di aras bawah. Pihak bomba BBP Siburan bertindak membuat operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki pam jentera sumber pili bomba dan dua aliran salur bantu mula.
“Pihak bomba BBP Batu Lintang bertindak membuat operasi pemadaman menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan pam jentera sumber air tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan di aras dua dan tiga didapati tidak terjejas dan lot kedai bersebelahan turut tidak terjejas.
“Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan. Setelah memastikan punca api telah padam sepenuhya dan keadaan selamat pihak bomba bertolak balai ke balai,” ujarnya. -TVS