KUALA LUMPUR, 9 Dis: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN diunjur mencecah 4.5 trilion dolar Amerika menjelang 2030 dan berkemungkinan menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ekonomi ASEAN juga dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus antara 2025 hingga 2030.
Tambah beliau pertumbuhan ekonomi enam negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam pula menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terpantas sepanjang empat suku yang lalu.
“Terdapat angka kukuh dari perspektif KDNK, momentum perdagangan, aktiviti industri dan tenaga kerja.Untuk Malaysia sahaja, output pembuatan kita meningkat 4.7 peratus pada suku kedua 2024, dan 5.6 peratus pada suku ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perniagaan ASEAN-Malaysia 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu Tengku Zafrul menjelaskan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia merupakan langkah penting untuk menggalakkan integrasi dan daya tahan yang mendalam buat rantau ini.
Justeru katanya penyampaian ekonomi utama (PED) memainkan peranan utama dalam mewujudkan ASEAN sebagai peneraju ekonomi.
“Menjelang 2045, populasi ASEAN dijangka melebihi 800 juta. Ini menjadikan ASEAN pasaran yang sangat menarik kepada pelabur dan pengeksport global,” katanya. -TVS