MIRI, 9 Dis: Unit Operasi dan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri memeriksa 530 kenderaan serta mengeluarkan 153 notis ketidakakuran atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Khas Motosikal Tahun 2024 bertempat di Jalan Kuala Baram Bypass di sini, semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya berkata, sebanyak 27 daripada jumlah notis tersebut dikeluarkan terhadap pemandu atau penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu.
“Sebanyak 26 notis pula adalah notis yang dikeluarkan terhadap pemandu atau penunggang motosikal atas kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas.
“Operasi kali ini turut mengesan beberapa jenis kesalahan seperti lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh dan beberapa kesalahan teknikal yang lain,” kata kenyataan itu
Katanya, operasi tersebut juga menyaksikan sebanyak lima kenderaan disita kerana dikesan melakukan pelbagai kesalahan.
“Ops Khas Motosikal ini akan terus dilaksanakan sehingga akhir tahun 2024 bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali serta pemilik motosikal yang gagal mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya.
“JPJ Sarawak menyeru agar semua pengguna jalan raya pada setiap masa hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang berkuatkuasa,” menurut kenyataan itu. – TVS