KUALA LUMPUR, 9 Dis: Program ekonomi anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Korea Selatan baru – baru ini berjaya meraih potensi pelaburan mencecah RM32.8 bilion.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata program ekonomi tersebut merangkumi forum perniagaan dan mesyuarat yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ketua-ketua pemain industri dan syarikat-syarikat utama pelbagai industri negara itu.
“Potensi nilai pelaburan tersebut merangkumi sektor kimia, automotif termasuk kenderaan elektrik (EV), biofarmaseutikal serta teknologi hijau seperti teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen dan ammonia hijau yang akan dilaksanakan oleh pelabur-pelabur Korea Selatan di Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Dewan Rakyat: Laporan pemisahan peranan AG, pendakwa raya dibentang tahun depan
Chin Tong berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional – Kubang Pasu) yang meminta MITI menyatakan nilai pelaburan dan sektor industri yang dilaksanakan oleh pelabur negara berkenaan di Malaysia serta nilai eksport negara ke Korea Selatan.
Sementara itu Chin Tong berkata, Malaysia telah berjaya mendapatkan komitmen potensi nilai eksport sebanyak RM1.3 bilion bagi minyak sawit, bahan bakar bio, produk makanan serta bahan kegunaan industri francais seperti sarung tangan industri ke negara itu.
“Hasil nilai pelaburan serta nilai perdagangan yang membanggakan ini mencerminkan keyakinan pelabur dan pengimport Korea Selatan terhadap landskap ekonomi Malaysia sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan yang dipercayai oleh negara itu,” jelasnya lanjut. -TVS.,