KUALA LUMPUR, 9 Dis: Dewan Rakyat dimaklumkan laporan interim dapatan kajian empirikal mengenai pengasingan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan kepada Kabinet pada tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran, berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri ketika ini sedang menyediakan laporan berkenaan.
Jelas beliau kajian telah dilakukan di Kanada, England dan Australia pada 6 hingga 9 Mei dan 3 hingga 6 Jun lalu.
“Kajian mendapati setiap negara itu memiliki ciri model pemisahan yang berbeza.
https://staging.tvsarawak.my/2024/12/09/dewan-rakyat-majoriti-kes-penderaan-kanak-kanak-berlaku-di-tangan-orang-dikenali/
“(Apa yang) menarik di Australia, kes sivil melibatkan kerajaan dikendalikan oleh jabatan berbeza iaitu Australia Government Solicitors namun tidak wajib bagi agensi kerajaan mengguna pakai perkhidmatan guaman kecuali dalam kes tertentu,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok (Pakatan Harapan – Seputeh) yang ingin tahu status terkini usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.
Sementara itu beliau memaklumkan kajian itu penting supaya model pengasingan yang akan digunakan sesuai di Malaysia sebelum pindaan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan.
https://staging.tvsarawak.my/2024/12/09/dewan-rakyat-pelan-transformasi-al-falah-2023-2027-perkasa-peranan-institusi-islam/
“Kerajaan tidak ada masalah untuk meminda Artikel 145, kita ada majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi kajian empirikal perlu dibuat.
“Kalau nak bawa perubahan lebih mudah untuk disebut berbanding dilaksana kerana kita perlu ada perbincangan dengan pemegang taruh termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. -TVS.