Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Noraini Ahmad menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini. Foto, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: KPWKM tumpu lahirkan penjaga berkemahiran

ByAmirah Shawel

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan tumpuan bagi melahirkan penjaga berkemahiran melalui program latihan dan pembangunan kapasiti oleh Institut Sosial Malaysia (ISM).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisatif berkenaan merupakan langkah pemula kepada pemerkasaan Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2036.

Jelas beliau, ISM merupakan institusi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan latihan kepada para penjaga menerusi piawaian modul latihan yang standard dan komprehensif.

“KPWKM berkeyakinan penuh bahawa melalui kerjasama dengan semua pihak dalam melaksanakan perancangan yang terkandung dalam Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2030 akan membuka satu lagi ruang dan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu kepada rakyat dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan dan pembangunan negara,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (Pakatan Harapan – Ampang) yang meminta KPWKM menyatakan perancangan mengintegrasikan ekonomi penjagaan dalam pembangunan nasional dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negara memandangkan potensinya membina satu pasaran bernilai sekitar USD25.5 bilion yang bukan sahaja mengiktiraf sumbangan wanita melalui tugasan penjagaan dan domestik tidak berbayar malah mencipta peluang pekerjaan baharu.

Sementara itu, Noraini memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Kerangka Ekonomi MADANI pada 27 Julai 2023 telah menetapkan dasar yang jelas berkaitan ekonomi penjagaan apabila menetapkan hala tuju untuk mengembangkan kerja-kerja penjagaan dan penyertaan wanita dalam tenaga buruh untuk mencapai 60 peratus menjelang 2033.

“Justeru, kesinambungan daripada ketetapan dasar tersebut, KPWKM telah mengambil inisiatif yang tuntas mengadakan makmal untuk membincangkan Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2030 bermula pada 13 Mei 2024 dan berakhir pada 21 Jun 2024,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Rodziah, Noraini memaklumkan Kertas Putih Agenda Negara Menua akan menjadi antara tumpuan utama KPWKM dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Perangkaan kertas putih berkaitan ekonomi penjagaan itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

“Sebelum pembentangan di Parlimen, rangka kerja tersebut akan dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) terlebih dahulu,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan