KUCHING, 9 Dis: Christmas Dreamville 2.0, festival perayaan Krismas yang dinantikan, kini kembali dengan skala yang lebih besar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, Christmas Dreamville 2.0 akan memberikan pengalaman yang menarik kepada pengunjung tempatan dan luar, sambil mempamerkan Kuching sebagai destinasi percutian yang meriah.
“Kami ingin memupuk rasa kebersamaan dan semangat perayaan di kalangan semua peringkat umur dan latar belakang serta menyokong usahawan dan artis tempatan dengan menyediakan platform untuk mempamerkan produk dan bakat mereka,” katanya dalam sidang media pra-acara Christmas Dreamville 2.0 di sini, hari ini.

Beliau menambah, matlamat ini sejajar dengan visi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak untuk menggalakkan kepelbagaian budaya, memupuk pembangunan komuniti, serta meningkatkan kualiti pelancongan di Sarawak.
“Dengan menyokong bakat dan usahawan tempatan, kami berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif Sarawak, di samping meningkatkan daya tarikan Kuching sebagai destinasi pelancongan utama,” tambahnya lagi.
Menurutnya, fokus kepada jangkauan masyarakat dan pemberian amal mencerminkan komitmen untuk meningkatkan kehidupan golongan yang memerlukan serta membina masyarakat yang penyayang dan inklusif.
Christmas Dreamville 2.0 akan berlangsung dari 13 hingga 25 Disember bertempat di The Hills, dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Bazaar Krismas, persembahan langsung, upacara memasang lampu pada pokok Krismas, bengkel dan aktiviti interaktif, pertemuan dengan Santa (meet and greet), kempen memberi kepada komuniti, pesta makanan dan minuman serta pameran foto dan dekorasi. – TVS