KUCHING, 9 Dis: Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) menganjurkan Malam Perhargaan Media Cahya Mata 2024 selaras dengan usaha menghargai peranan dan sumbangan pengamal media di wilayah ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, majlis itu diadakan sebagai apresiasi atas peranan dan sumbangan media kepada Cahya Mata, terutama dalam menyampaikan maklumat informatif dan tepat tentang Cahya Mata kepada masyarakat.
“Mengimbau kembali perjalanan kami pada tahun 1974 sebagai entiti yang dikenali sebagai Cement Manufacturing Sarawak dan kini sebagai konglomerat multinasional yang dinamik, namun ada perkara yang akan kekal utuh, yakni komitmen kami dalam mengekal legasi kecemerlangan dan memperkasakan inovasi.
“Perkembangan ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama rakan media yang tanpa jemu berkongsi kisah kami kepada dunia, dengan penuh integriti dan membina kepercayaan kepada seluruh warga,” katanya pada Malam Perhargaan Media Cahya Mata Sarawak Berhad 2024 di sini, malam ini.
Sulaiman turut menzahirkan penghargaannya kepada rakan-rakan media yang hadir di atas sokongan yang diberikan kepada Cahya Mata sepanjang tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya.
Hampir 100 orang pengamal media cetak dan elektronik diraikan pada acara yang cukup meriah di Hotel Sheraton Kuching.
Untuk rekod, setakat suku ketiga tahun kewangan berakhir September 2024, Cahya Mata mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM299.9 juta berbanding keuntungan yang dicatatkan pada akhir suku kedua (Jun) 2024 yakni RM278 juta dan lonjakan keuntungan sebanyak lapan peratus ini adalah didorong oleh prestasi cemerlang Bahagian Simen dan Penyelenggaraan Jalan Raya kumpulannya.
Cahya Mata Sarawak Berhad merupakan sebuah konglomerat mapan dengan kepentingan perniagaan yang pelbagai termasuk simen, pembuatan fosfat, perkakas minyak, penyelenggaraan jalan raya, pembangunan hartanah, perkhidmatan kewangan serta infrastruktur telekomunikasi.-TVS