Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Arca sape besar yang tersergam indah di Sungai Asap, Belaga bakal mengangkat nama tempat itu di persada dunia. Foto Mohamad Kasat (FB)

Arca sape terbesar bakal julang nama Sungai Asap di persada dunia

KUCHING, 9 Dis: Sungai Asap, Belaga yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Bandar Bintulu bakal menempa nama di peringkat antarabangsa dengan adanya arca sape tersergam indah.

Dibina menggunakan bahan buangan motosikal, ia tersergam dengan ukuran kira-kira 12 meter panjang dan 1.8 meter lebar – melambangkan identiti budaya Orang Ulu yang mendiami kawasan Sungai Asap.

ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon. Foto Aiok (TVS)

Arca sape ini akan dimasukkan dalam Elite World Records.

Sentuhan seni anak Sadong Jaya, Mohamad Kasat, arca sape ini siap didirikan di Sungai Asap pada Ahad.

Selain dihiasi cahaya lampu berwarna keemasan, arca ini turut dilengkapi bunyi muzik sape.

Menceritakan tentang ilham di sebalik penghasilan arca itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon menjelaskan kira-kira dua tahun lepas beliau berkunjung ke pameran kraf tangan di Kuala Lumpur.

Di pameran itu beliau tertarik dengan sentuhan seni anak Sadong Jaya, Mohamad Kasat yang menghasilkan arca-arca menarik.

Selepas beberapa kali berbincang, Chukpai dan Mohamad Kasat mencapai persetujuan untuk membina arca yang kosnya dianggarkan RM150,000.

“Idea membuat arca sape terbesar ini sebenarnya impian saya untuk memelihara warisan atau alat tradisional Orang Ulu.

“Semasa berkunjung ke Marudi satu ketika dahulu saya ternampak arca sape besar diperbuat daripada kayu. Selepas itu saya terfikir hendak membuat arca yang lebih besar,” katanya kepada TVS di sini, hari ini.

Jelasnya, arca yang diperbuat dari bahan terpakai ini juga sejajar dengan matlamat kerajaan Sarawak yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar.

Chukpai berkata lagi, arca ini disiapkan di Sadong Jaya dan beberapa hari lepas ia diangkut menggunakan lori treler ke Sungai Asap.

Menurutnya, arca alat muzik Orang Ulu ini akan dirasmikan pada 12 Disember 2024 dan dicatatkan dalam World Elite Records pada hari tersebut.

Pada hari berkenaan juga, satu rekod juga bakal dicipta apabila menghimpunkan pemain instrumen muzik tradisional dan persembahan tarian oleh penari paling ramai di Sungai Asap.

Selain arca sape, sebelum ini Sungai Asap turut menempa nama dalam Guiness Book of World Records dengan tikar rotan yang berukuran 1,128.272 meter panjang dan 28 sentimeter lebar.

Menara ‘Tungun Belawing Pebeka Tawai’, merupakan satu lagi kebanggaan penduduk ADUN Murum apabila menempa nama dalam Malaysia Book of Records pada 2019 susulan binaan ini tertinggi seumpamanya.

Pada Oktober 2024, Uma Ukit Apau Koyan di Sungai Asap Belaga dinobat sebagai pembuat ‘Dinding Rotan Berhias Tradisional Terpanjang atau Teteng Wei’ untuk rumah panjang tersebut dengan kepanjangan 185.4 meter yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

Chukpai berkata lagi, beliau mengimpikan semua 15 rumah panjang di Sungai Asap mencipta rekod tersendiri agar mampu diangkat sebagai destinasi pelancongan yang mengetengahkan pelbagai produk berasaskan kraf tradisi .

Menjelaskan pencapaian ini, Chukpai berkata beliau mahu melihat kawasan DUN Murum dikenali sebagai lokasi wajib dilawati satu hari kelak.

“Perlu ada produk pelancongan untuk membawa pelawat masuk Sungai Asap. Dengan adanya aktiviti pelancongan, penduduk setempat mempunyai pendapatan dan sekali gus dapat menaik taraf sosioekonomi mereka,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan