GEORGE TOWN, 8 Dis: Tiga lelaki tempatan yang juga ahli sindiket along direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes penculikan seorang wanita warga Indonesia dalam kejadian di Pulau Tikus di sini Khamis lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 28 hingga 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri bermula hari ini sehingga 12 Disember depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, mangsa berusia 41 tahun yang merupakan pekerja bahagian pembersihan bersama dua lagi rakan senegaranya telah membuat pinjaman masing-masing sebanyak RM1,000 dengan sindiket tersebut pada tahun lalu.
Bagaimanapun, dua rakan mangsa itu dikatakan gagal membayar semula pinjaman tersebut sehingga sindiket bertindak melarikan wanita itu dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Mangsa berjaya melarikan diri selepas dikurung di sebuah kondominium di Bukit Mertajam dekat sini selama dua hari sebelum dia membuat laporan polis dengan bantuan penduduk tempatan di kawasan itu.
Bertindak atas laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya menahan suspek tersebut dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam awal pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi pemberita mengesahkan tangkapan tersebut. – TVS