KUCHING, 8 Dis: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan tiada tindakan akan diambil kepada ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holding Sdn Bhd (GISB) yang menuntut anak mereka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ibu bapa berkenaan tidak perlu takut ditangkap polis sekiranya mereka tidak memiliki sebarang kesalahan jenayah.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjadi penjaga sementara kepada kanak-kanak itu memiliki senarai ibu bapa berkenaan dan berusaha untuk menghubungi mereka.
“Kita jamin kalau mereka tidak ada kesalahan atau jenayah melibatkan polis, mereka tidak perlu takut.
“Jadi mereka yang tidak diambil tindakan selanjutnya (NFA) itu ada dalam senarai kita dan itu yang kita hubungi namun ada yang tidak menjawab panggilan sebab takut ditangkap polis.
“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini makin ramai yang menuntut anak mereka apabila melihat yang lain tidak ditangkap oleh polis selepas menuntut anak mereka daripada JKM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sembang Santai Bersama Media di UCSI Hotel Kuching pada Sabtu.
Menurut Nancy, ketika ini kira-kira 130 kanak-kanak berkenaan masih belum ditutut oleh ibu bapa mereka.
Bagaimanapun katanya, terdapat juga ibu bapa yang mahu anak mereka terus dijaga JKM memandangkan ada antara ibu bapa berkenaan sudah kehilangan punca pendapatan.
JKM jelas beliau akan mencadangkan tindakan selanjutnya kepada mahkamah sebelum sebarang tindakan lanjutan tempoh penjagaan terhadap kanak-kanak tersebut.
“Ini kerana keputusan mengenai perkara itu hanya dapat dilakukan selepas mendapat perintah daripada mahkamah,” ujarnya.-TVS