KUCHING, 8 Dis: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SUPP akan tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak yang berwawasan untuk mengemudi GPS kepada kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.
Kejayaan pimpinan Abang Johari dalam memacu pembangunan Sarawak jelas terbukti khususnya di bawah inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dan usaha berterusan beliau menuntut hak Sarawak seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), dan Akta Malaysia 1963 (Bab 35).
Oleh itu, SUPP akan kekal bersama dalam usaha berterusan GPS memperjuangkan peruntukan satu pertiga daripada kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah selaras dengan prinsip keadilan dan rangka kerja perlembagaan yang diwujudkan di bawah MA63.
Selain itu, SUPP memberikan sokongan penuh dalam mempertahankan hak sejarah dan perlembagaan negeri ke atas perairan wilayahnya termasuk pelantar benua, dasar laut, dan tanah bawah di bawah laut lepas yang bersempadan dengan perairan wilayah Sarawak.
Tambahnya pendirian Kerajaan Sarawak terhadap Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 kekal sah dan boleh dikuatkuasakan berikutan pembentukan Malaysia akan terus disokong oleh SUPP.
Menurut kenyataan tersebut, Kerajaan Persekutuan diseru untuk memindahkan autoriti dan kuasa penuh kepada Menteri Kesihatan Sarawak dalam penjagaan kesihatan masyarakat di wilayah ini. -TVS