SRI AMAN, 8 Dis: Setiap guru yang bertugas di wilayah ini perlu menjadi ahli Kesatuan Guru Sarawak (STU) demi menjadikan kesatuan tersebut mempunyai suara kuat bagi mempertahankan hak dan kebajikan warga pendidik.
Presiden STU, Kullin Djayang berkata, sebagai kesatuan guru terbesar di Sarawak, pihaknya amat menghargai jika semua guru bersama di dalam STU.
“Ini kerana di dalam STU ada pelbagai kemudahan dan kebajikan untuk ahli. Sebagai guru, adalah lebih baik berada dalam kesatuan kerana hanya kesatuan sahaja yang boleh berunding dengan kerajaan berkaitan skim perkhidmatan perguruan.
“Tanpa penyertaan guru baharu sudah pasti kesatuan tidak mempunyai suara kuat dan kita sedia maklum bahawa kita tidak boleh membuat usul, mencadang atau menyatakan ketidakpuasan hati dalam perkhidmatan secara individu kerana ia mendedahkan individu tersebut dikenakan tindakan tata tertib,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Keluarga anjuran STU Bahagian Sri Aman di sini, semalam.
Katanya, sebagai presiden kesatuan guru terbesar di Sarawak beliau amat menghargai guru di seluruh Sarawak yang sudi menyertai STU.
“Dapatkan borang keahlian daripada wakil sekolah atau ahli jawatankuasa STU setiap bahagian atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat STU sama ada di Kuching, Sibu dan Miri,” ujarnya.
Sementara itu, Hari Keluarga STU Sri Aman kali ini disambut meriah oleh semua ahli STU di bahagian itu.
Pelbagai acara dijalankan dan ia melibatkan anak ahli serta pelajar sekolah bagi memupuk semangat silaturahim selain memupuk kesedaran guru lain untuk melibatkan diri dalam kesatuan. – TVS