LIMBANG, 8 Dis: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) perlu melihat keperluan menaik taraf kemudahan sukan termasuk Kompleks Sukan Limbang yang merupakan venue utama penganjuran sukan di bahagian ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, trek balapan Kompleks Sukan Limbang amat memerlukan kerja pembaikan dan naik taraf sepenuhnya.
Menurutnya, sebelum ini kerja pembaikan trek balapan hanya melibatkan keluasan 100 meter sahaja dengan kos RM500,000 daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
“Kita minta trek balapan Kompleks Sukan Limbang dapat dinaik taraf sepenuhnya tahun depan. Begitu juga dengan kemudahan lampu limpah bagi memudahkan pemain bermain pada sebelah malam.
“Itu perjuangan kita bersama agar SSC dapat melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perlawanan Akhir Liga Premier Limbang anjuran Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (LFA) di Kompleks Sukan Limbang petang semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden LFA Frederick Lalung, Naib Presiden LFA Bulhaji Wahab serta ahli jawatankuasa tertinggi LFA.
Dr. Abdul Rahman yang juga Presiden LFA berkata, banyak kemudahan sukan di Limbang yang rosak dan perlu dinaik taraf kerana merupakan pusat penganjuran sukan utama sama sama ada di peringkat bahagian, negeri dan antarabangsa.
Bagi tujuan itu katanya, Limbang memerlukan kemudahan sebuah arena atau gelanggang tarik tali sendiri memandangkan sukan tari tali sudah diangkat menjadi kejohanan besar peringkat antarabangsa sejak diadakan 17 tahun lalu. -TVS.