MIRI, 8 Dis: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam membangunkan kemudahan asas di kawasan luar bandar melibatkan bekalan elektrik, air, Internet dan perkhidmatan kesihatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, ia terbukti dengan peruntukan lebih RM2 bilion disediakan Kerajaan Sarawak untuk membekalkan elektrik 24 jam ke rumah panjang dan kampung menerusi sistem solar.
“Kerajaan bekerja keras untuk memperbaiki situasi ini. Jika bercakap tentang bekalan elektrik 24 jam, lebih RM2 bilion dibelanjakan untuk membekalkan elektrik ke rumah panjang dan kampung di kawasan luar bandar melalui sistem solar.
“Kami berharap apabila kemudahan komunikasi semakin baik, lebih banyak klinik luar bandar dapat disambungkan ke grid utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Pelantikan Jawatankuasa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sarawak 2024 di Miri, pada Sabtu.
Mengenai isu penduduk tetap (PR), Gerawat menjelaskan, Kerajaan Sarawak sedang mempercepatkan proses terutama melibatkan doktor bukan anak Sarawak yang berkhidmat lama di wilayah ini.
“Bagi doktor dari Sabah atau Semenanjung Malaysia, permohonan PR boleh diselesaikan di Kuching.
“Tetapi, bagi bukan warganegara, permohonan perlu dihantar ke Putrajaya. Kami mencadangkan proses lebih fleksibel yang mana keputusan awatankuasa negeri boleh mendahului tindakan Jabatan Imigresen,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Gerawat turut menyumbangkan RM10,000 kepada MMA Cawangan Sarawak sebagai tanda sokongan dan keyakinan kepada jawatankuasa baharu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang. – TVS