KUCHING, 7 Dis: Rumpun Silat Sarawak (RSS) Wilayah Kuching kini melangkah setapak lagi dengan pembukaan pusat latihannya di Sego Centre, Jalan Sultan Tengah di sini.
Pengerusi RSS Wilayah Kuching, Abd Taib Yusup, berkata pusat ini dijangka memulakan operasi pada Januari 2025.
Menurutnya, mereka akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Pegawai Sukan Daerah (SDO) Persilatan bagi merangka pelbagai aktiviti pada tahun 2025.
Antara program yang dirancang ialah kursus warsit juri, kursus seni jurus baku serta inisiatif lain untuk memperkasa pembangunan sukan silat di negeri ini.
“Pusat ini akan dimanfaatkan oleh 49 perguruan silat di bawah naungan RSS Wilayah Kuching.
“Selain itu, usaha mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan silat di Sarawak akan menjadi fokus utama kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Perguruan Pukulan 12 Spring Sendeng Hadiah yang diketuai Haini Hamlin pada Jumaat.
Kunjungan ini merupakan yang pertama seumpamanya ke pusat latihan baharu tersebut.
Cawangan-cawangan Pukulan 12 Spring Sendeng Hadiah di Kuching dan Kota Samarahan turut mengambil peluang ini untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan RSS Wilayah Kuching.
Program itu dimeriahkan dengan sesi penyerahan cenderahati, fotografi dan demonstrasi teknik pelampas oleh perguruan tersebut.