KUCHING, 7 Dis: Program SAMArindok siri ke empat tahun ini menutup tirai malam tadi dengan empat segmen persembahan dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir Tebingan Sungai Kuching.
Program yang diadakan di bawah Pelan Strategik Amanah Khairat, Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) memasuki tahun ke-10 penganjuran sejak dimulakan pada 2014.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, tujuan utama penganjuran program adalah untuk mengangkat dan mempromosikan kebudayan Orang Melayu di Sarawak terutama dalam kalangan belia menerusi kesenian dan kebudayaan.
“Pengisian program SAMArindok dan Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2024 dirancang bertujuan menonjolkan serta menarik belia agar menyertai persembahan sekali gus mampu menarik minat pelancong.
“Sokongan yang diberikan sepanjang penganjuran sangat baik. Saya yakin pada masa akan datang, sokongan ke atas program ini akan diteruskan dan lebih ramai lagi penonton akan hadir menyaksikan program ini,” katanya.
Abdul Wahab berkata demikian dalam ucapan di Godown Amphitheater pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran program tersebut turut mendapat kerjasama dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU).
Program penutup malam tadi menyaksikan beberapa persembahan dipersembahkan melibatkan persembahan nyanyian Lagu Melayu Asli dari penyanyi Hafizuddin Jamaluddin dan Hijrah Yahya, persembahan tarian dari Artis Budaya Badan Seni AKYBMS dan pertunjukan pencak silat dari Persatuan Persilatan Seni Asli Zamrud.
Hadir sama Pengurus Besar AKYMSB Datu Dr Sanib Said dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Rudzaimeir Malek.– TVS