KAPIT, 8 Dis: Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 bukan sahaja menjadi landasan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat tetapi sebagai panduan untuk menghadapi cabaran masa kini dan masa depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, genap 100 tahun peristiwa bersejarah itu memberikan pengajaran penting tentang kepentingan keharmonian dan perpaduan untuk kemajuan bersama.
“Pendamaian sangat penting untuk kita memupuk semangat persaudaraan. Dengan semangat ini, kita dapat bekerjasama demi kepentingan semua pihak dan mencari penyelesaian kepada cabaran masa kini dan masa depan,” katanya
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Perayaan ke-100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Kubu Sylvia di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Beliau turut menyifatkan perubahan besar dapat disaksikan di Kapit yang mana dahulunya dikenali sebagai kawasan terpencil namun Kapit kini lebih mudah diakses melalui jalan darat.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya di Kapit dan kawasan sekitarnya menyatukan kawasan pedalaman dengan bandar lain di Sarawak.
“Dulu, Kapit hanya boleh diakses dengan bot ekspres sungai yang memakan masa. Hari ini, kita boleh tiba dari Sibu ke Kapit dalam satu jam lebih melalui jalan darat. Ini bukti pembangunan yang kita jayakan bersama,” ujarnya.
Tambahnya, melalui pembangunan infrastruktur dan semangat perpaduan yang dipraktikkan sejak Perjanjian Perdamaian Kapit 1924, Sarawak berjaya menjadi model keharmonian untuk negara. – TVS