KUCHING, 8 Dis: Pemilihan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib sebagai Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kota Sentosa dilihat mampu meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat.
Timbalan Ketua PBB Cawangan Kota Sentosa Mahmud Dato Sri Ibrahim berkata, ahli PBB Cawangan Kota Sentosa memberi respons positif kepada pemilihan Ahli Parlimen Mukah itu dan bersedia memberi kerjasama seterusnya mengeratkan kerjasama antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
“Walaupun dahulunya saya merupakan ketua cawangan tetapi saya percaya kehadiran Datuk Hanifah Hajar Taib ke Kota Sentosa mampu menambah baik mutu khidmat kami kepada masyarakat Kota Sentosa serta memantapkan lagi akar umbi kita.
“Bukan itu sahaja, beliau dapat membantu dari segi komunikasi kepada parti komponen GPS dan seterusnya meneraju serta memimpin ahli parti bersuara lebih lantang untuk PBB di kawasan Kota Sentosa apabila berhadapan dengan parti komponen yang lain,” katanya ketika ditemui TVS di Serapi Corner, Batu 7, hari ini.
Menurut Mahmud, pelantikan Hanifah sebagai ketua cawangan itu dilihat dapat membuka satu lembaran baharu di kawasan itu.
Tambahnya, memang menjadi impiannya untuk membawa Hanifah ke Kota Sentosa.
“Saya seakan-akan tidak percaya apabila beliau (Hanifah) bersetuju untuk menerajui cawangan ini bagi tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2027,” ujarnya.
Malah menurutnya, PBB akan terus memberi sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Sudah semestinya, kita akan bekerja rapat seperti sebelum ini, kita telah membantu rakan komponen iaitu SUPP untuk memenangi DUN Kota Sentosa pada pilihan raya yang lepas dan kami amat berbangga dengan kemenangan tersebut dan dengan adanya Datuk Hanifah Hajar Taib, kami dapat memberi sokongan lebih kuat lagi untuk memenangkan calon GPS di Kota Sentosa nanti.
“Insya-Allah, semoga Wilfred Yap Yau Sin akan dipilih lagi dan kami akan terus memberi sokongan penuh untuk meraih sokongan daripada pengundi di Kota Sentosa,” jelasnya.
Pada Mesyuarat Agung PBB Cawangan Kota Sentosa hari ini, Hanifah Hajar Taib dilantik sebagai Ketua Cawangan PBB Kota Sentosa apabila hanya menerima satu kertas pencalonan sahaja manakala Mahmud pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB Kota Sentosa apabila turut menerima satu kertas pencalonan sahaja.
Turut dilantik Ahmad Faizuladha Drahman sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Kota Sentosa dan Norjanah Morshidi sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kota Sentosa. – TVS