KUCHING, 8 Dis: Seramai 800 peserta membanjiri perkarangan Garden Park Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) seawal jam 5.30 pagi untuk menyertai Larian JKR-RANDO 2024 hari ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo berkata, larian anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama rakan strategik, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah (RANDO) Kuching serta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu merupakan salah satu aktiviti untuk mempromosikan gaya hidup sihat.
“Ini merupakan satu program JKR bersama dengan RANDO dalam skala besar. Lebih menarik ia melibatkan hampir 800 kakitangan JKR dan sudah tentunya aktiviti sebegini adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai Larian JKR-RANDO 2024 di Kuching pada Ahad.
Larian JKR-RANDO 2024 dibahagikan kepada dua kategori iaitu jarak lima dan dua kilometer.
Hadir sama Pengarah JKR Sarawak Cassidy Morris dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.– TVS