KUCHING, 8 Nov: Sebagai institusi penjagaan kesihatan pertama di Pulau Borneo yang mengunakan teknologi robotik, Hospital Pakar KPJ Kuching berjaya melakukan 600 pembedahan penggantian lutut keseluruhan menggunakan teknologi robotik termaju.
Daripada jumlah tersebut, 500 pembedahan menggunakan Pembantu Pembedahan Robotik (ROSA) manakala 100 dilakukan menggunakan Penyelesaian Bantuan Robotik (VELYS™).
Pakar Bedah Ortho KPJ Kuching, Dr. Lee Woo Guan menyifatkan kejayaan ROSA dan VELYS™ bukan sekadar pencapaian teknikal namun ia mencerminkan dedikasi tidak berbelah bahagi KPJ untuk memajukan penjagaan pesakit melalui teknologi ketepatan.
“ Sistem ini telah menetapkan penanda aras baharu dalam pembedahan ortopedik, menawarkan ketepatan yang tiada tandingan, meningkatkan hasil pembedahan dan menyediakan pesakit dengan pemulihan lebih cepat dan lancar.
“Ramai pesakit kami berkongsi kisah mereka tentang transformasi luar biasa dengan masa pemulihan yang lebih cepat, mengurangkan kesakitan dan kualiti hidup yang dipertingkatkan selepas pembedahan,” katanya pada Majlis Penghargaan ROSA dan VELYS™ di English Tea House, Kuching.
Sementara itu, Pengurus Besar KPJ Kuching, Nor Azlina Jemain berkata, pencapaian itu juga menggariskan peranan penting KPJ dalam mewujudkan Sarawak sebagai hab utama untuk pelancongan kesihatan.
“Dengan teknologi termaju dan kepakaran perubatan yang luar biasa, kami berbangga menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia yang memenuhi keperluan pesakit tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Menurut Lanny Gunawan, 80, dari Bandung, Indonesia yang merupakan salah seorang penerima perawatan tersebut melahirkan rasa puas hati dengan penjagaan rawatan mereka.
“Saya juga memilih untuk datang ke sini kerana segala-galanya tentang perkhidmatan itu sangat baik.
“Prosedurnya cepat, lancar dan berjaya selepas pembedahan, saya tidak berasa sakit sama sekali,” ujarnya.
Manakala seorang lagi pesakit dari Jakarta Indonesia, Tjung Daryanto, 59, turut berkongsi pengalaman positifnya sepanjang menerima bantuan di Hospital KPJ.
“Saya disambut mesra oleh kakitangan hospital KPJ, walaupun jadualnya padat, Dr. Lee Woo Guan meluangkan masa untuk berjumpa saya, memeriksa keadaan saya dengan teliti, dan menjalankan pemerhatian lanjut,” jelasnya.
Sejak diperkenalkan pada September 2023, ROSA merevolusikan pembedahan penggantian lutut di rantau ini malah penambahan VELYS™ pada Oktober 2024 juga mempertingkatkan lagi penjagaan ortopedik dengan keupayaan teknologi pelengkap. -TVS