KAPIT, 8 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan rancangan untuk membangunkan Kapit Square sebagai kawasan hijau yang bakal menjadi simbol sejarah dan perpaduan bagi Daerah Kapit.
Beliau berkata, pembangunan Kapit Square akan menampilkan unsur sejarah khususnya Perjanjian Perdamaian Kapit yang menjadi satu peristiwa bersejarah penting untuk masyarakat di kawasan ini.
Menurutnya, beliau turut berhasrat untuk memodenkan kawasan Kapit mengunakan fasiliti hijau yang berkonsepkan moden dan harmoni.
“Kita akan bangunkan Kapit Square sebagai simbol perpaduan dengan elemen hijau dan sejarah yang mengingatkan kita kepada pentingnya perpaduan bukan sahaja di Kapit tetapi juga di seluruh Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Perayaan ke-100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Kubu Sylvia di sini, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi menggerakkan sumber dana untuk menjayakan projek tersebut.
Mengulas lanjut, pembangunan Kapit Square diharap menjadi landasan baharu untuk memperkenalkan Kapit sebagai destinasi penting di Sarawak serta memperkukuhkan identiti sejarah dan kemakmuran wilayah.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan hubungan jalan raya yang lebih baik ke Kapit dalam meningkatkan kemakmuran ekonomi bagi kawasan pedalaman. – TVS