Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Fazzruddin Abdul Rahman menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli PBB Kota Sentosa. Foto Muqri Aziz (TVS)

Hanifah Hajar Taib kini Ketua PBB Kota Sentosa

KUCHING, 8 Dis: Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib kini menerajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kota Sentosa selepas dipilih pada Mesyuarat Agung PBB Cawangan Kota Sentosa hari ini.

Beliau menggantikan Mahmud Dato Sri Ibrahim yang menerajui cawangan itu selama hampir 19 tahun.

Pelantikan itu secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam usaha PBB memperkukuh pengaruhnya di Kota Sentosa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB Dato Fazzruddin Abdul Rahman menyifatkan pelantikan Hanifah sebagai bukti keyakinan parti terhadap kemampuan dan visi beliau untuk memacu kepimpinan di peringkat akar umbi.

“Saya yakin PBB hendak melihat ahli Parlimen kita memberi khidmat bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi juga sebagai Ketua Cawangan PBB di seluruh Sarawak.

“PBB Cawangan Kota Sentosa melihat Datuk Hanifah Hajar Taib dapat memberi khidmat kepada Cawangan Kota Sentosa dan sebulat suara mencadangkan serta memohon beliau untuk berkhidmat di Kota Sentosa,” katanya ketika ditemui TVS di Serapi Corner, Batu 7, hari ini.

Dalam pemilihan tersebut, Mahmud Dato Sri Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan, sementara barisan kepimpinan baharu pemuda dan wanita turut diumumkan.

Fazzruddin yang juga Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak menjelaskan pelantikan Hanifah adalah sebahagian strategi untuk mengukuhkan jentera PBB bagi membantu rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan kerusi di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

“Saya yakin semangat GPS di mana sahaja, jika kawasan ditandingi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PBB akan membantu mereka.

“Sudah semestinya ketua cawangan yang baharu itu kelak akan memastikan jentera PBB menjadi semakin mantap dalam membantu mana-mana calon daripada rakan GPS yang lain,” ujarnya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan