KUCHING, 8 Dis: Di sebalik kesibukan tugas, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi tetap meluangkan masa menghulurkan bantuan kebajikan daripada Skuad Prihatin Pantai Damai.
Enam penerima di Zon Santubong menerima bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan asas.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, penerima terdiri daripada penghidap penyakit kencing manis, ketumbuhan, buah pinggang, strok dan menjalani pembedahan.
“Kali ini bantuan diserahkan kepada penerima di Zon Santubong melibatkan Kampung Buntal (tiga penerima) dan Kampung Rampangi Fasa 1 (tiga penerima),” katanya selepas menyerahkan bantuan kebajikan kepada penerima hari ini.
Menurutnya, kunjungan kebajikan seperti itu menjadi kelaziman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.
“Ini adalah usaha Skuad Prihatin Pantai Damai bagi mengunjungi masyarakat yang memerlukan bantuan kebajikan,” ujarnya.-TVS