MIRI, 8 Dis: Anugerah Datuk Bandar Bandaraya Miri 2024 menyaksikan 22 penerima yang terdiri daripada individu dan organisasi terpilih pada majlis yang berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club malam ini.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, penyampaian anugerah yang memasuki edisi keenam itu bertujuan menghargai sumbangan luar biasa kepada pembangunan Bandar raya Miri.
“Anugerah ini meraikan semangat kecemerlangan, dedikasi dan khidmat bakti yang memacu pertumbuhan serta keharmonian Bandar raya Miri secara berterusan,” katanya.
Tahun ini menyaksikan sebanyak 43 pencalonan diterima yang merupakan jumlah tertinggi sepanjang penganjuran sejak 2008.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 penerima terpilih berdasarkan penilain terhadap 17 elemen Matlamat Pembangunan Mampan.
Anugerah tersebut merangkumi 11 kategori utama termasuk Alam Sekitar, Pendidikan, Keselamatan dan Sekuriti, Promosi Sukan dan Bakat, Media dan Akhbar serta Kesejahteraan Komuniti.
Menurut Adam Yii, anugerah tersebut terbuka kepada individu, organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira kewarganegaraan, agama atau latar belakang etnik selagi mereka menyumbang kepada pembangunan Miri.
“Marilah kita bekerjasama untuk menjadikan Miri sebuah bandar yang bukan sahaja berkembang tetapi makmur.
“Harapan saya untuk masa depan Miri adalah agar kita terus membina di atas asas kecemerlangan ini, menuju ke arah kelestarian, keterangkuman dan kemakmuran untuk generasi akan datang.
“Dan untuk merealisasikan visi Bandar raya Miri sebagai Bandar Peranginan Antarabangsa yang Hijau, Pintar dan Paling Selesa Diduduki,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Abdullah Jaini serta beberapa pemimpin tempatan dan antarabangsa termasuk Datuk Bandar La Trinidad Municipality Romeo K. Salda.-TVS