KUCHING, 7 Dis: Stesen televisyen wilayah pertama di Malaysia, TV Sarawak (TVS) dan saluran televisyen Indonesia yang berpusat di Jakarta, JakTV akan bekerjasama dalam pelbagai kandungan media termasuk pertukaran berita dan kandungan serta produksi bersama.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Kushairi Abang berkata, langkah tersebut bertujuan memanfaatkan kelebihan kedua-dua stesen televisyen untuk menghasilkan kandungan lebih berkualiti dan menarik perhatian penonton di Malaysia serta Indonesia.
“Saya mulakan dengan berita dari Jakarta, Indonesia, di sini ada banyak wartawan, begitu juga di Sarawak iaitu di Kuching dan Kuala Lumpur. Kita boleh hasilkan berita mengenai Malaysia dan JakTV boleh hasilkan berita dari Jakarta, tapi kita tukar kandungannya.
“Kedua dari segi kandungan produksi bersama, contohnya program pelancongan atau program telemovie. Ada banyak cerita dari Sarawak dan juga Jakarta, jadi JakTV buat pembikinannya di sini manakala kita buat di Sarawak. Kita boleh gabungkan atau bertukar-tukar bakat atau artis.
“Itu boleh memberi satu produk yang berlainan daripada stesen televisyen lain,” katanya dalam satu temu bual ekslusif bersama JakTV yang disiarkan menerusi platform Youtube rasmi JakTV, baru-baru ini.
Beliau menambah, kolaborasi ketiga adalah menerusi pertukaran rancangan sedia ada seperti program majalah atau dokumentari bagi menambah variasi kandungan untuk penonton.
Kushairi turut menekankan kepentingan kolaborasi tersebut dalam mengoptimumkan kos pengeluaran serta memperkukuh jaringan industri media di rantau ini.
Menurutnya, stesen televisyen seperti JakTV adalah pilihan rakan kongsi media tepat kerana kawasan liputannya melibatkan Jakarta iaitu pusat rujukan media bagi rakyat Indonesia.
“Saya tidak perlu yang besar, JakTV sudah memadai, sebab kawasan liputannya melibatkan Jakarta, tidak perlu pergi jauh,” ujarnya.
JakTV ialah saluran televisyen swasta Indonesia yang berpusat di Jakarta,
Ditubuhkan pada 2004 dan dikendalikan oleh Mahaka Media, JakTV memfokuskan kepada kandungan tempatan seperti berita, gaya hidup dan budaya dengan penonton utama di kawasan Jakarta dan sekitarnya.
Untuk rekod, TVS setakat ini mencatatkan lebih 12 juta tontonan di saluran lineal dan 600 juta tontonan dari Januari hingga Oktober 2024 melalui pelbagai platform digital iaitu TikTok, Facebook, Instagram, X, dan YouTube. – TVS