KUCHING, 7 Dis: Alunan ritma simfoni sentuhan pemuzik dan penari bertaraf dunia diselangi jejak langkah adibusana oleh peragawan serta peragawati menghidupkan suasana Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersempena Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2024 yang berlangsung malam ini.
Pengerusi SIFMA, Dr. Geraldine Law-Lee berkata, penganjuran edisi kelima SIFMA 2024 merupakan salah satu agenda dalam memperkasakan segmen kesenian, kebudayaan, seni halus dan pelancongan di wilayah ini.
“Kita mencari titik tengah yang mana fesyen dan penataan gaya untuk digabungkan serta berkembang secara harmoni bersama muzik di dalam festival ini agar ia menjadi satu kolaborasi yang disemai dan diaplikasikan ke dalam fesyen, busana, kraf tangan seni barangan kemas dan persembahan yang menjadi denyut nadi kepada SIFMA.
“Usaha ini diharap akan dapat menjadikan SIFMA ini satu wadah penyatuan seni secara kesatuan kerjasama simbiotik antara semua cabang seni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2024 di Kuching pada Sabtu.
SIFMA 2024 menampilkan karyawan muzik berkelas dunia seperti Gilbert De Greeve dan Dr. Poom Prommachart, kumpulan tarian teater Halili-Cruz daripada Filipina dan kumpulan tari KESUMA dari Universiti Malaya serta menampilkan rekaan adibusana serta fesyen terkini daripada pereka terkenal asal Sarawak, Dato Raymond Jolly dan pereka busana lelaki ternama negara, Bon Zainul Harun.
Seramai lebih 100 artisan daripada pelbagai cabang seni termasuk muzik, tarian dan fesyen terlibat dalam SIFMA 2024 kali ini.
Malam SIFMA 2024 yang penuh gemilang itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri MTCP, Datuk Snowdan Lawan. -TVS