MUKAH, 7 Dis: Pusat astronomi di Kuching, Miri dan Bintulu diwujudkan untuk belia Sarawak mendalami ilmu falaq.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha membangunkan pelbagai inisiatif untuk kepentingan belia di wilayah ini.
“Bukan itu sahaja, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong inisiatif belia melalui pelbagai program dan dasar kolaborasi semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Sarawak di Kingwood Resort, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif baharu kewangan yang diumumkan baru-baru ini khususnya kepada pelajar menunjukkan kepentingan belia kepada Sarawak.
Katanya, peruntukan RM30 juta untuk mereka yang sedang melanjutkan pengajian tinggi yang mana keluarga yang berpendapatan rendah akan menerima bantuan wang saku sebanyak RM1,200.
“Bukan itu sahaja, Kerajaan Sarawak akan membelanjakan lebih RM90 juta bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 30 peratus.
“Selain itu, baucar buku RM500 akan diteruskan serta inisiatif komputer riba percuma untuk pelajar universiti golongan B40,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abang Johari turut menyeru belia Sarawak untuk terus membudayakan pembangunan diri, inovasi dan keusahawanan.
Katanya, ini disebabkan dunia semakin pesat dan peluang baharu yang memerlukan daya pemikiran kreatif, kritis dan kemahiran tepat.
“Saya yakin belia Sarawak mempunyai potensi luar biasa untuk menjadi peneraju utama dalam bidang teknologi dan inovasi.
“Oleh itu, saya menyarankan belia berani untuk keluar dari zon selesa, mengasah pemikiran kreatif dan mencari penyelesaian inovatif bagi mengatasi cabaran yang ada,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan sentiasa menyokong belia dalam usaha merealisasikan impian dan cita-cita bagi menjadikan mereka pemimpin bukan sahaja peringkat negeri malah nasional dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Hari Belia Sarawak di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Bakat berjaya diiktiraf dalam Malaysian Book of Records iaitu penghasilan mural menggunakan sebanyak 35,112 penutup botol.
Karim turut menyampaikan Anugerah Belia Sarawak kepada kepada Mattasan Bohari bagi kategori lelaki individu dan Debbie Gibson Medan kategori wanita individu.
Manakala johan bagi kategori pertubuhan dianugerahkan kepada Persatuan Belia Miri dan tempat kedua dimenangi oleh Persatuan Junior Chamber International Sibu.
Ia adalah melalui kerjasama tiga kumpulan sukarelawan iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Smart Bootcamp dan Kelab Belia.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telliam Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Daro Safiee Ahmad. – TVS