PHNOM PENH, 7 Dis: Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) terus komited dalam menyebarkan syiar Islam melalui pendekatan Dakwah Bil Hal yang menekankan perbuatan baik dan khidmat masyarakat sebagai cara utama untuk menyampaikan nilai-nilai Islam.
Presiden RISEAP, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu memperbaiki kualiti hidup masyarakat tetapi juga mempromosikan Islam sebagai agama yang progresif dan menyokong kemajuan.
“Melalui Dakwah Bil Hal, organisasi dakwah dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat sambil secara tidak langsung menyampaikan mesej bahawa Islam adalah agama untuk kemajuan,” kata Abang Johari ketika berucap pada Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke-20 di sini, hari ini.
Premier Sarawak itu berkata, pendekatan ini merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan komuniti, pendidikan, dan usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat minoriti Muslim.
“Tindakan bersama yang diambil ini dapat memperbaiki keadaan masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya lagi.
RISEAP juga menekankan kerjasama antara agama sebagai asas untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurut Abang Johari, prinsip-prinsip yang terkandung dalam Piagam Madinah dijadikan inspirasi untuk membina hubungan erat antara komuniti Muslim dan agama lain.
“Piagam ini menekankan prinsip kerjasama antara masyarakat sambil mengekalkan keamanan dan keharmonian antara pelbagai kaum, agama, dan budaya,” tambah Abang Johari.
Abang Johari menyeru agar usaha dakwah diteruskan dengan penuh dedikasi, terutama dalam membina persefahaman dan kesatuan antara komuniti di Asia Tenggara dan rantau Pasifik.
Beliau juga menekankan pentingnya umat Islam untuk bersikap inklusif, menolak ekstremisme dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
“Saya ingin menyeru setiap delegasi untuk menerapkan pendekatan baharu dalam menyebarkan syiar Islam, bukan sahaja kepada bukan Muslim tetapi juga sesama Muslim.
Turut hadir Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta delegasi kerajaan Kemboja, Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin. – TVS