MIRI, 7 Dis: Perarakan Krismas Bandaraya Miri ke-15 yang berlangsung meriah malam tadi membuktikan perpaduan dan keharmonian budaya di Sarawak terus kukuh.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sambutan Krismas membawa makna besar kepada keharmonian masyarakat Sarawak.
“Perarakan Krismas bukan sekadar perarakan biasa. Ia mengajar kita tentang pentingnya menghormati, bertoleransi dan memahami antara satu sama lain.
“Ia menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat yang berkongsi matlamat bersama, iaitu memperkukuh Sarawak sebagai sebuah kuasa sosial dan ekonomi di peringkat negara bahkan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam majlis perasmian Perarakan Krismas Bandaraya Miri Edisi ke-15.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut komited dalam memastikan keharmonian agama terus menjadi keutamaan.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM385 juta sejak 2017 untuk pembangunan rumah ibadat dan sekolah mubaligh.
“Di Malaysia, tiada kesatuan agama lain yang serupa seperti di Sarawak. Kita bertuah kerana nilai menghormati dan toleransi agama diwarisi daripada nenek moyang kita.
“Kita satu-satunya negeri di Malaysia yang memberikan bantuan kewangan formal kepada agama selain Islam. Inilah bukti dasar inklusiviti sosial Sarawak yang menjadi asas kekuatan perpaduan kita,” ujarnya.
Menurutnya, hasil negeri yang dijangka mencecah RM14.2 bilion pada tahun depan akan digunakan untuk memperkukuh pembangunan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Peningkatan pendapatan ini bermakna lebih banyak projek, bantuan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak terutamanya golongan belia.
“Ini adalah usaha kita untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan memastikan kekayaan negeri dinikmati bersama,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.
Dalam pada itu, beberapa kehormat juga telah menyumbang kepada tabung Perarakan Krismas Miri tersebut yang mengumpul sumbangan berjumlah RM110,000.-TVS