KUCHING, 7 Dis: Polis akan memperkasakan elemen pencegahan narkotik di lapangan terbang, dan pelabuhan utama bagi memastikan cubaan sindiket membawa masuk dadah ke Sarawak dapat di banteras.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, berdasarkan siasatan sebelum ini, kebanyakan modus operandi untuk membawa masuk dadah ke Sarawak menggunakan pengangkutan udara dan laut, selain terdapat sebahagiannya menggunakan perkhidmatan kurier.
“Bagaimanapun, masalah penyeludupan tersebut tidak seserius seperti di Semenanjung Malaysia.Jika dibandingkan polis kontinjen-kontigen negeri lain di Semenanjung Malaysia sana, Sarawak masih di bawah kawalan lagi serta tidak serius yang apabila ditangkap akan membabitkan nilai dadah yang amat besar seperti RM33 juta dan sebagainya.
“Di Sarawak ini ada tangkapan namun dalam jumlah yang kecil dan kebanyakannya dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia untuk dibekalkan kepada negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bilangan 73 Siri 8/2024 di Pulapol Kuching di sini pada Sabtu.
Khaw berkata, ketika ini, Miri telah dikenal pasti sebagai antara kawasan panas yang banyak digunakan sindiket untuk membawa masuk dadah ke Sarawak.
Katanya, pemintaan yang tinggi selain harga pasaran dadah di negara jiran yang mencecah lebih 10 kali ganda harga pasaran di Sarawak menjadikan kawasan tersebut antara tumpuan utama digunakan bagi membawa masuk bahan terlarang itu ke Sarawak.
Justeru, beliau mahu anggota polis termasuk Anggota Pasukan Gerakkan Am (PGA) untuk lebih memperketatkan lagi kawalan terutamanya di kawasan sempadan selain terus menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah kepada JSJN terdekat.
“Ia bagi membolehkan perancangan berkaitan diatur bagi membanteras dan menangkap individu terlibat,” tegasnya. -TVS