KUCHING, 7 Dis: Karuna (Sarawak) Enterprise Sdn Bhd (Karuna Sarawak) menerima pengiktirafan sebagai salah sebuah syarikat di bawah Malaysia’s SME100 Fast Moving Companies untuk 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Karuna Sarawak, Melvin Ong menerusi kenyataannya hari ini menyifatkan anugerah pengiktirafan berkenaan menekankan komitmen pihaknya untuk menyampaikan penyelesaian digital yang praktikal dan inovatif.
“Komitmen ini sekali gus memberi tumpuan untuk membantu perniagaan berkembang dan menyesuaikan diri dalam landskap yang kian pesat membangun.
“Pencapaian ini juga mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap kepakaran pasukan kami yang terus berdedikasi,” kata Melvin.
Melvin berkata, pihaknya mendapat inspirasi untuk terus menghasilkan penyelesaian yang berkesan untuk setiap rakan kongsi syarikat berkenaan.
Jelasnya lagi, Karuna menggabungkan kepakaran profesional dengan pendekatan peribadi, memperkasakan perniagaan untuk mengemudi transformasi digital dengan berkesan.
“Anugerah ini mengiktiraf peranan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam inovasi dan pertumbuhan perniagaan berasaskan teknologi digital,” jelasnya. – TVS