KUCHING, 7 Dis: Kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini terus meningkat dengan data kebolehpasaran menunjukkan lebih 99 peratus bekerja, menjadi usahawan kecil dan melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Pengarah Cemerlang Kolej Vokasional (KV) Matang, Jamali Muhamad, senario tersebut membuktikan graduan TVET bukan sahaja menjadi buruan majikan malah berupaya membina perniagaan sendiri dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan menerusi kemahiran sewaktu mengikuti program sijil atau diploma.
Menurutnya, bidang kemahiran sentiasa menjadi buruan majikan kerana sistem pembelajaran diterapkan dalam TVET pada 2012 melibatkan 70 peratus pengajaran dan pembelajaran berbentuk praktikal.
“Kebolehpasaran lepasan Kolej Vokasional seluruh Malaysia adalah sebanyak 99.11 peratus yang berkerja, sambung pengajian atau terlibat dalam bidang keusahawan,” katanya.
Sementara itu, graduan KV Matang Melisa Bong,18, dinobatkan sebagai pelajar terbaik Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara (DMC).
“Dalam KV, ramai pelajar yang tidak meneruskan pengajian ke peringkat diploma disebabkan Sijil Tahap 3 sangat berpotensi untuk membuat perniagaan sendiri.
“Seperti kursus saya, pelajar akan dapat kemahiran membaiki dan menyelenggara penyaman udara dan boleh menggunakan kemahiran untuk membuka perniagaan secara kecilan dan mendapat gaji lumayan,” ujarnya.
Melissa ditemui TVS selepas Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Sijil Vokasional Kohort 2022 di Kolej Vokasional (KV) Matang yang berlangsung pada Sabtu.
Program tersebut menyaksikan seramai 274 graduan menerima sijil TVET meliputi tahap 1, 2 dan 3 manakala 10 menerima Diploma Kemahiran
Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie hadir menyempurnakan majlis tersebut-TVS