MIRI, 7 Dis: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala menyifatkan hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat menjamin masa depan lebih stabil untuk masyarakat Orang Ulu.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg begitu bermurah hati dan prihatin terhadap masyarakat Orang Ulu.
“Oleh itu saya menyeru masyarakat Orang Ulu untuk berterima kasih kepada kerajaan dan Premier kita kerana begitu bermurah hati serta prihatin terhadap masyarakat.
“Kita terus bersatu, maju bersama, duduk bersama dan bekerjsama dengan Kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Premier kita. Hanya Kerajaan Sarawak yang kita ada sekarang boleh menjamin masa depan lebih stabil dan terjamin untuk masyrakat Orang Ulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pra Pelancaran Bangunan FORUM dan Perayaan Pra Krismas 2024 di sini, semalam.
Tambahnya, bangunan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) siap pada Ogos 2024 dan Permit Pendudukan diberi oleh Majlis Perbandaran Miri pada 11 Oktober lepas.
Majlis pembukaan malam tadi merupakan program pertama berlangsung di dewan Bangunan FORUM.
Menurut Gerawat, Bangunan FORUM dibina dengan kos RM37 juta dan merupakan simbolik penyatuan dan perpaduan masyarakat Orang Ulu.-TVS