KUCHING, 7 Dis: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi perhatian kepada usaha menempatkan anggota berpangkat konstabel baharu yang tamat latihan asas kepolisan di Sarawak.
Pengarah Jabatatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, keutamaan penempatan itu disebab kekosongan jawatan lebih banyak di Sarawak berbanding dengan negeri lain.
“Jadi untuk Sarawak ini kita akan isikan setiap kekosongan yang ada dan Bahagian Pengurusan Latihan Bukit Aman akan berbincang dengan Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak untuk melihat kepada kekosongan yang ada.
“Ia (pengisian kekosongan) akan dilakukan secara berperingkat dan kita tidak sama sekali mengabaikan Sarawak.
” Saya juga telah berbincang dengan Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan manakala Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata memaklumkan terdapat kekosongan dan itu keutamaan kita untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bilangan 73 Siri 8/2024 di Pulapol Kuching pada Sabtu.
Seramai 338 pelatih konstabel polis wanita menamatkan latihan asas kepolisan yang bermula 9 Jun lalu hingga 8 Disember ini.
Kesemua pelatih akan di tempatkan di seluruh negara berdasarkan jumlah keperluan dan kekosongan perjawatan di setiap Ibu Pejabat Kontinjen atau Ibu Pejabat Polis Daerah.
Semasa latihan tersebut, Konstabel Nur Putri Yasmin Noor Azmee dianugerahkan pelatih akademik terbaik manakala Konstabel Nurul Aina Ahmad Khalil dianugerahkan pelatih terbaik latihan luar sementara Konstabel Nur Syazratul Najwa Khairo Anuar dinobat sebagai pelatih terbaik keseluruhan latihan.-TVS