KUCHING, 7 Dis: Sebanyak 30 peratus projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dilaksanakan dengan baik dan mendahului jadual ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Cassidy Morris berkata, antara projek utama yang mendahului jadual termasuk pembinaan Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Marudi.
“Kita ada dalam 30 peratus projek yang mendahului jadual. Sebenarnya, kita jarang memberi penekanan terhadap projek yang mendahului jadual. Namun, ini menunjukkan prestasi baik dalam projek kita.
“Antara salah satu projek iaitu Pan Borneo yang hampir siap. Beberapa projek pesisir pantai dan projek jambatan yang hampir siap iaitu Jambatan Muara Lassa dan Marudi. Jadi, Jambatan Marudi merupakan salah satu contoh terbaik,” katanya pada Program Sepetang Bersama Media di Kuching pada Sabtu.
Katanya, perkembangan tersebut menunjukkan keberkesanan strategi jabatan tersebut dalam memastikan projek yang diamanahkan berjalan lancar dan mencapai piawaian ditetapkan.
Tambah Cassidy, hampir tiada projek sakit dikesan dan menunjukkan satu pencapaian luar biasa hasil pemantauan rapi terhadap kontraktor.
Beliau turut menyatakan keyakinan kejayaan itu akan menjadi panduan berharga bagi pelaksanaan projek pada tahun 2025
“Setakat ini pada pemerhatian saya, JKR Sarawak menjalankan kerja yang sangat baik dalam melaksanakan projek yang diamanahkan untuk dilaksanakan oleh kita dan sudah tentunya ada yang dah siap, ada yang berterusan.
“Kami amat gembira kerana hampir tiada projek sakit. Ia membuktikan kesungguhan JKR Sarawak dalam menguruskan kontraktor yang tidak serius. Prestasi ini akan menjadi panduan untuk projek pada 2025 dan seterusnya,” ujarnya.-TVS