KUALA LUMPUR, 6 Dis: TV Sarawak (TVS) mengukir sejarah penting dalam industri penyiaran apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Intercontinental Communication Center (CICC).
MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG) Kushairi Abang yang disaksikan oleh Pengerusi Sarawak Media Group, Dato’ Norhyati Ismail.
Manakala CICC diwakili oleh Timbalan Pengarah Hubungan Media Antarabangsa,Sun Jing dan disaksikan oleh Kaunselor Kedutaan China di Malaysia Chen Youliang serta Ketua Jurutera Beijing Municipal Radio and Television Bureau (BRTB) Qin Xudong.
Kushairi Abang dalam ucapan berkata, kerjasama tersebut akan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China dalam bidang penyiaran serta media audio visual.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam memperkukuh perkongsian budaya dan teknologi antara kedua-dua negara. Dengan tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, ini adalah peluang terbaik untuk memperluas lagi jalinan kerjasama ini,” katanya pada majlis MoU yang diadakan di Connexion Conference & Event Centre, semalam.
Beliau menjelaskan MoU tersebut akan melibatkan pertukaran idea kreatif, penerbitan bersama serta penyiaran program ‘Made in Beijing’ di platform TVS.
“Kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang dalam penyiaran serta memperluas perkongsian teknologi dan pengetahuan dalam kalangan pengamal media di Sarawak,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Kushairi juga menghargai sokongan kerajaan China terhadap perkembangan profesionalisme kakitangan TVS.
“Pada bulan Mei lalu, wartawan TVS telah diberi peluang untuk menghadiri seminar di Beijing dan Shandong. Program seperti ini sangat bermakna dan memberikan pengalaman serta ilmu baru kepada pasukan kami,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jurutera Beijing Municipal Radio and Television Bureau (BRTB), Qin Xudong turut menyatakan kerjasama tersebut bukan sahaja memberi manfaat dalam bidang penyiaran tetapi akan memperkaya hubungan budaya antara Malaysia dan China.-TVS