SEPANG, 6 Dis: Pemain tengah Harimau Malaya Mohamed Syamer Kutty Abba berharap skuad negara dapat mencatatkan keputusan terbaik dalam kempen Piala ASEAN 2024 sekali gus menjadikan ia sebagai hadiah perpisahan bermakna buat ketua jurulatih Pau Marti Vicente.
Mohamed Syamer berkata pengesahan berita ketiadaan pengendali dari Sepanyol itu selepas saingan Piala ASEAN berakhir nyata memberikan impak mendalam kepada seluruh pasukan.
“Semua orang tahu jurulatih Pau Marti sudah lama bersama dengan pasukan kebangsaan dan tentu ia beri impak kepada kami.
“Namun, kami harap kejohanan ini akan beri hadiah perpisahan yang baik untuk dia bagi membalas segala apa yang disumbangkan kepada pasukan. Ini medan terbaik (pasukan) untuk beri sesuatu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Skuad negara berlepas ke Phnom Penh hari ini bagi aksi pertama saingan Piala ASEAN menentang Kemboja pada Ahad.
Semalam, Pau Marti mengejutkan arena bola sepak negara apabila mengesahkan tugasan terakhir beliau selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya ialah pada Piala ASEAN 2024 bermula 8 Dis hingga 5 Jan 2025.
Keputusan berkenaan dibuat susulan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan.
Pada kempen Piala ASEAN 2024, Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand serta Singapura, Kemboja dan Timor-Leste manakala Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu Vietnam serta Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke pusingan separuh akhir.
Terdahulu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu antara terpilih bergelar kapten pasukan selain Dominic Tan serta Muhammad Syafiq Ahmad bagi saingan Piala ASEAN kali ini. -TVS