PHNOM PENH, 6 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Duta Malaysia ke Kemboja, Shaharudinn Onn sebaik tiba di negara tersebut.
Sebagai sebahagian daripada lawatan kerja Premier Sarawak ke negara tersebut, Abang Johari bertemu Shaharudinn bagi membincangkan pelbagai topik strategik berkaitan hubungan kerjasama yang mungkin boleh diterokai antara Sarawak dan Kemboja.
Premier Sarawak juga dijadual menghadiri acara penting di Phnom Penh, termasuk Majlis Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke-20.
Kunjungan hormat tersebut turut menandakan usaha berterusan Sarawak dalam memperluaskan kerjasama serantau untuk mencapai pembangunan mampan dan memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara jiran.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.