PHNOM PENH, 6 Dis: Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) terus menekankan kepentingan dalam membina masyarakat Islam bersepadu dengan memberi perhatian khusus kepada aspek kepimpinan.
Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata, fokus utama adalah memastikan kesinambungan kepimpinan melalui peranan anak muda sebagai pelapis utama dalam meneruskan legasi dan perjuangan Islam.
“RISEAP yakin bahawa pembangunan generasi muda dalam kepimpinan adalah kunci kepada kemajuan umat Islam di rantau ini.
“Dalam usaha ini, program dan inisiatif strategik terus dirancang untuk melibatkan generasi muda secara aktif, “ kata Mohamad Marzuki ketika ditemui TVS di Phnom Penh, Kemboja pada Khamis.
Mohamad berkata, usaha tersebut sejajar dengan matlamat RISEAP untuk memastikan komuniti Islam minoriti terus berkembang dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosial, ekonomi serta budaya serantau. -TVS