PUTRAJAYA, 6 Dis: MyDigital ID dan Digital Nasional Berhad (DNB) diberi masa sehingga pertengahan bulan ini bagi menyelesaikan isu kelewatan dalam melaksanakan dua inisiatif digital nasional, MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G, kata Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada MyDigital ID untuk mencari penyelesaian bagi meningkatkan pendaftarannya.
“Setakat 5 Disember 2024, jumlah pendaftaran adalah 1.319 juta, jadi Perdana Menteri merasakan jumlah ini masih terlalu rendah, oleh itu ia berkait langsung dengan keperluan untuk usaha dilipat gandakan.
“Perdana Menteri memberikan My Digital ID tempoh masa yang singkat selepas mesyuarat tempoh hari dan satu keputusan akan dibuat mengenai apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah pengguna dan mereka yang telah mendaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, bagi DNB pula Fahmi berkata, organisasi itu diberi masa sehingga minggu depan untuk membentangkan rancangan perniagaan mereka kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi pelancaran rangkaian kedua 5G .
“UMOBILE telah membentangkan perancangan perniagaan mereka pada awal minggu ini, manakala DNB diberi tempoh sehingga minggu depan untuk melakukannya. Mereka memohon sehingga Januari tetapi Perdana Menteri minta supaya ia diberikan pada minggu depan,” jelasnya.
Sebelum ini, Anwar meluahkan kekesalannya terhadap kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara itu dengan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh disebabkan rundingan projek i tidak mendapat respons positif daripada DNB. – TVS