KUCHING, 6 Dis: Kho Teck Wan kekal sebagai Pengerusi Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi tempoh 2024 hingga 2027.
Ditemui selepas Majlis Pemilihan Jawatankuasa Baharu Cabang Wanita SUPP di sini hari ini, Teck Wan berkata pada penggal ini perpaduan menjadi tonggak utama dalam agenda asas terhadap usaha bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.
Katanya, setiap ahli SUPP perlu bekerjasama dalam melahirkan masyarakat bersatu padu dan menitikberatkan integrasi rakyat pelbagai kaum dan etnik melalui komunikasi yang baik dalam memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat.
“Kita menekankan perpaduan sebab jika kita tidak bersatu dalam parti kita sendiri, saya rasa kita tidak boleh menghadapi sebarang cabaran.
“Kami mahu memastikan semua orang bekerjasama, terutamanya di kawasan pilihan raya yang berhampiran,” katanya.
Tambahnya, seramai 15 muka baharu yang telah dilantik bagi menggantikan ketua-ketua wanita di cawangan SUPP Sarawak.
Jelasnya, pengganti kepada ketua wanita cawangan tersebut telah mengetengahkan pemimpin muda bagi memberi nafas baru dalam kepimpinan SUPP.
“Ya, kami mempunyai 36 bahagian wanita di Sarawak dan daripada 36, dari penggal lepas, kami mempunyai 15 pengerusi yang sudah bersara.
“Jadi saya mengucapkan tahniah kepada pengerusi baru kerana mereka lebih muda dan ini adalah proses yang baik yang kita ada yang baru yang menggantikan yang telah bersara,” jelasnya.
Seramai 264 ahli SUPP telah hadir bagi menyertai Majlis Pemilihan Jawatankuasa Baharu Cabang Wanita SUPP.
Dalam majlis tersebut juga terdapat tiga resolusi telah diluluskan oleh ahli-ahli Cabang Wanita SUPP.
Antaranya melibatkan jumlah perwakilan bagi setiap satu wakil ditingkatkan daripada 100 kepada 150 untuk setiap kawasan yang ada cabang wanita dan juga meluluskan garis panduan langkah-langkah melaksanakan pemilihan perwakian di peringkat kawasan. – TVS